Bangi. 5 Mei 2024. Telah selesai Mesyuarat Agung Kali Ketiga Persatuan TJP 54 yang telah dihadiri oleh skot-skot TJP 54 bertempat di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor. Ada yang datang berseorangan dan ada yang datang membawa keluarga dan anak-anak, juga cucu. Majlis sambutan Hari Raya dan Mesyuarat Agung kali ini diadakan secara fizikal, setelah dua kali mesyuarat agung dibuat secara online. Selain dari itu, mesyuarat kali ini diadakan untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa yang baru secara undian dan perlantikan, disamping membincangkan perkara-perkara lain seperti pindaan perlembagaan, polisi kebajikan, yuran dan lain-lain.
Acara dimulakan dengan menikmati hidangan makan tengahari yang sangat menyelerakan yang disediakan oleh pihak hotel dengan berbagai jenis lauk pauk, kuih muih dan minuman. Setelah semua skot selesai menikmati hidangan makanan, sampailah masanya untuk mesyuarat agung dimulakan dengan pembentangan minit mesyuarat agung yang lalu, pembentangan akaun pendapatan dan perbelanjaan tahun 2023, laporan aktiviti sepanjang tahun lepas, pembubaran Ahli Jawatankuasa lama dan pemilihan/perlantikan AJK yang baru.
Ucapan tahniah kepada barisan Ahli Jawatankuasa yang baru dilantik untuk menerajui persatuan yang pada kali ini diketuai oleh skot Jafri bin Sulaiman. Dalam ucapannya, skot Jafri mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah diberi amanah untuk menerajui persatuan ini dan akan berusaha sedaya upaya merancang dan melaksanakan aktiviti yang berfaedah kepada semua skot. Beliau menyeru kepada mana-mana skot yang masih belum mendaftarkan diri sebagai ahli untuk berbuat demikian supaya kebajikan ahli dan warisnya akan dapat diambil berat oleh pihak persatuan. Beliau akan berusaha mendapatkan dana dari mana-mana sumber, disamping dana yang diperolehi dari bayaran yuran ahli.
Ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada barisan pengurusan yang lama, khususnya kepada skot Nasharuddin yang memimpin persatuan sebelum ini, dari awal penubuhan sehinggalah persatuan ini berdaftar. Beliau menyatakan sudah sampai masanya untuk beliau meneruskan sokongan dan dokongan dari belakang untuk memberikan peluang kepada pengurusan baru menambahbaik pengurusan persatuan.
Mesyuarat diakhiiri dengan majlis bergambar isteri dan anak-anak dan disusuli dengan semua skot. Sehingga kita berjumpa lagi dalam acara perjumpaan akan datang yang akan dirancang kemudian nanti.