Sabtu, 22 Jun 2024. Akhirnya aku sempat menziarahi Skot Salleh Mohamad lagi. Kali pertama waktu di Rumah Keluarga Kem Batu 10, Kuantan dan ini kali kedua. Kali ini keluarganya telah berhijrah ke rumahnya sendiri di Pasir Gudang, Johor. Kebetulan ada Undangan Majlis Persandingan anak Dato’ Hj Abd Lah di Bandar Baru UDA, setelah itu mengambil kesempatan terus menuju ke Pasir Gudang, tepatnya di Taman Nusa Damai. Terima kasih kepada sahabatku, Pak Omar yang sudi ikut serta, lagi pun aku tumpang kereta dia. Sanggup dia bawa aku sehingga ke Pasir Gudang.
Menurut isterinya, Puan Roslina Ahmad, keadaan suaminya ada perubahan dan bertambah baik. “Ada improvement”, katanya. Mungkin kalau dilihat sepintas lalu, pelawat yang sesekali hadir tak perasan, namun isteri dan anak-anaknya yang mengurus beliau setiap hari sedar perubahan demi perubahan, adalah diharapkan yang terbaik untuk Skot Salleh.
Begitulah Skot Salleh, sekujur tubuh itu hanya terbaring. Tak mampu berbuat apa-apa. Tiada komunikasi. Aku pendang tepat ke matanya, tiada eye contact… Tangan kanannya terpaksa diikat, untuk mengelakkan dia menggaru-garu anggota tubuh yang lain sehingga terluka. Tangan kirinya sentiasa ada pergerakan. Makanannya hanya susu berkhasiat, yang disalurkan melalui tube getah melalui hidungnya. Dilehernya ada saluran untuk membuang kahak atau lendir yang perlu dilakukan beberapa kali dalam sehari. Aku sendiri pernah merasai pengalaman makan melalui saluran getah yang dipasang dihidung selama 2 minggu beberapa tahun yang lalu selepas terlibat kemalangan motorsikal, Tuhan saja yang tahu betapa tidak selesanya dalam keadaan sedemikian.
Beberapa kali aku memanggilnya, “Skot.. skot.. ini Sapuan, kenal tak?”, juga tiada tanda-tanda memberikan respon. Kita tidak tahu apakah yang ada dipemikiran beliau. Adakah mungkin beliau kenal? Adakah mungkin beliau ingat? Atau mungkin beliau telah memberi respon, tetapi jasad dan pancainderanya tidak mampu memberikan tindak balas? Hanya Allah sahaja yang tahu.
Aku sedih dan sayu skot. Nasib kita tidak sama skot. Masing-masing ada ujiannya yang tersendiri. Masing-masing ada jalan hidup tersendiri, namun percayalah, kita tidak boleh lari dari peningkatan usia. Diusia sebegini, sedikit demi sedikit anugerah Nya diambil kembali. Apa pun kita perlu redha dengan ketentuanNya.
Mendengar cerita isternya, sedar tak sedar, telah 4 tahun peristiwa itu berlaku. Skot Salleh tiba-tiba tumbang semasa bermain Golf, sewaktu bertugas sebagai Ketua Staf di Markas 3 Briged, Kuching. Setelah itu urusan dipermudahkan dengan membawa keluarganya ke rumah kelamin di Kem Batu 10, Kuantan dan kini telah selamat kembali ke rumah sendiri di Pasir Gudang, Johor sejak bulan Oktober tahun lalu. Menurutnya, wakil Jabatah Hal Ehwal Veteran Johor ada membuat lawatan dan telah memberikan bantuan utama iaitu susu (sebagai makanan utama) dan lampin pakai buang. Tak pasti peralatan lain dan ubatan lain, aku tak tanya lebih lanjut dan lebih detail…
Siapa yang tak ingat skot sendiri, sama-sama menjalani latihan kadet. Sama-sama kena lanyak. Skot Salleh ni kuat berpeluh, sehingga digelar ‘Salleh Peluh’ oleh skot-skot. Aku lebih ingat Salleh, kami sama-sama hadir temuduga pemilihan kadet yang pada waktu itu di Kem Desa Pahlawan, Kelantan. Beberapa tahun selepas itu, sekitar tahun 1994 / 95, berjumpa kembali di kem yang sama, aku di 5 Renjer dan beliau di 3 RAMD, bersebelahan. Kuarters kami juga berdekatan. Aku masih ingat, anak sulung aku dijaga oleh isteri QM 3 RAMD pada ketika itu, nama suaminya aku dah lupa, nama isterinya kak Fauziah ke apa kalau tak salah. Waktu itu Ejutan si Huzaimi, beberapa kali aku ke pejabatnya pada ketika itu, entah urusan apa aku tak ingat.
Begitulah sedikit sebanyak coretan aku skot yang mana sempat aku taip, sebagai rekod dan catatan pengalaman. Aku kuatkan semangat untuk menulis sementara masih segar dalam ingatan untuk dikongsi dengan skot-skot yang lain, khususnya yang belum berkesempatan untuk menziarahi beliau. Carilah masa dan carilah peluang skot. Kita tak tahu bila ajal dan maut kita skot, mudah-mudahan diberikan kesempatan. Marilah kita sama-sama berdoa agar skot kita Salleh kembali pulih seperti sedia kala, tiada yang mustahil andai itu kehendakNya.
Butiran Skot Salleh
Sakit: Stroke
Lt Kol (B) Salleh bin Mohamad (3005208)
Waris. Puan Roslina binti Ahmad – 0195711801
Alamat: No 55 Jln Sejahtera 19, Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, Johor
Lokasi GPS. Klik Sini.
Gambar-gambar Skot Salleh yang diambil dari facebook.