Kunjungan En Saleh (allahyarham)

 Pada: Ahad, 27 April 2003 jam 1200 – 1515
 Tempat: No 64, Kg Datuk Shariff Ahmad,
28050 KUALA KRAU, Temerloh, Pahang.
 Tel: 09-2861329

 

ensaleh03

Gambar kenangan kunjungan skot TJP 54 bersama keluarga

28 April 2003. Seperti yang telah dirancangkan hampir sebulan yang lalu, kunjungan ke rumah Bekas PW II Mat Saleh telah dapat dijadikan kenyataan. Bermula dengan penghantaran maklumat melalui sms, beberapa orang skot TJP 54 bersama keluarga telah dapat meluangkan masa berharga mereka dengan memberikan sepenuh kerjasama dan komitmen dengan menghadirinya, mereka ialah Jihati & keluarga, Sharel & keluarga, webmaster & keluarga, Saberi, Zamri dan Ong. Kunjungan ini dimeriahkan lagi apabila jurulatih TJP 54, Bekas PW II Md Ladin dan keluarganya turut bersama skot TJP 54 berkunjung ke rumah En Saleh.

ensaleh04

Rombongan ke rumah En Saleh telah selamat sampai lebih kurang jam 1230, yang mana konvoi kami terdiri dari Jihati, Saberi, En Md Ladin & webmaster, sesampainya di simpang Jerantut, Zamri join sekali. Rumah En Saleh lebih kurang 25 km jaraknya dari pekan Mentakab, bergerak ke arah Temerloh, lebih kurang 5 km, belok ke kiri ke arah Jerantut dan akan sampai ke kampung beliau lebih kurang 20 km perjalanan. Apabila kami sampai, Ong telah pun berada di rumah En Saleh. Apa yang menariknya, En Saleh telah memasang bendera merah di tepi jalan sebagai ‘tanda panduan dan objektif untuk diserang’, tapi malangnya Saberi sebagai ‘anggota recce’ pun tak nampak bendera tu sampai terlepas. Itulah akibatnya lama sangat jadi student dan buat tugas ERE, memang patut balik unit semula dan masuk hutan. Itupun nak meng’adjust’ lagi nak duduk MINDEF.

ensaleh05

Gambar kenangan skot TJP 54 bersama En Saleh dan En Md Ladin

En Saleh menyambut ketibaan kami dengan gembiranya, siap bagi guide untuk parking kereta, hmmm boleh tahan jugak orang tua ni, maklumlah bekas KSM. Ciri kepimpinan menebal dalam jiwa beliau, rambut pun pendek, baru gunting katanya…. Masuk saja ke rumah beliau, automatik terus lapar sebab tak tahan tengok ikan patin masak lemak, ayam masak sambal, daging, ulam-ulaman yang cukup menyelerakan termasuk kuih muih yang cukup sedap, tapi kerana nak kontrol hensem, semuanya pura-pura tak lapar dan gentleman…. Kami terasa syahdu pulak sebab En Saleh telah membuat persiapan yang hebat, mesti sibuk benar isteri beliau mempersiapkan segala juadah. Terasa macam bersalah pulak sebab menyusahkan beliau….. Tapi tak apalah, ada buah tangan, Zamri dah hadiahkan hamper besar, Saberi bawak anggur dan Sharel dah bawak buah tembikai… kira oklah tu.

ensaleh06

Maka bermulalah acara bersembang dan berborak, perangai beliau semasa kita kadet sehingga sekarang masih tak berubah, cakap besar jugak orang tua ni, mengutuk kita orang lagi…. masa kadet dulu tak berani nak jawab, cuma jawab, “Yaaaa Encikkkkkk…….” sekarang ni, Jihati dengan muka selamba jawab balik, agak pedas pulak tu…  “standard orang pencen kena jadi jaga, gaji 800…..”. Begitulah antara senda gurau kami dengan En Saleh, tak kering gusi gelak ketawa mengingatkan kisah lama semasa latihan dulu. “Engkorang ingat aku ni zalim tak masa jadi jurulatih kadet dulu?”, tanya En Saleh…. Hmmm… macam mana nak jawab ni…. Teringat lagi, tongkat sakti beliau melayang sampai patah-patah, jam pekak pun melayang, forward roll naik atas bukit…… yang tak boleh lupa kena hentak kaki beratus kali sebab kadet tak boleh hentak kaki peha paras… lepas tu beliau demonstrasi… “haa, macam ni kadet, hentak padat, peha paras…. tap.. tap… tap….”, apa tak parasnya, dia hentak kaki cuma 3 kali…… yang kami ni dah macam nak tercabut lutut…. Tapi bila mengenangkan kembali peristiwa tersebut lebih kurang 13 tahun yang lalu, pada kami itulah asam garam latihan dalam tentera dalam mengubah mentaliti seorang awam demi menghasilkan anggota tentera yang bersemangat waja, setia, taat, berani, berdisplin dan mempunyai ciri kepimpinan yang tinggi.

ensaleh01

Ong sempat melihat laman web tjp 54 menggunakan notebook beliau dan menunjukkan kepada En Saleh

Dalam bersembang tu, kami pun menikmati juadah yang telah disediakan, berselera benar nampaknya, webmaster tambah 2 kali, Jihati tambah 3 kali, Saberi tambah 4 kali, Ong tambah 5 kali… hmmmm…. mengabiskan beras betullah engkorang ni… Setelah kami siap makan, Sharel pun sampai… lewat sikit…. Setelah siap makan, lepas sembahyang zohor, kami terus bersembang sehinggalah lebih kurang jam 1500, acara bergambar beramai-ramai depan kain rentang yang di sponsor oleh Jihati. Lepas tu En Saleh sebagai tuan rumah membaca doa selamat untuk kesejahteraan semua skot TJP 54 dan sedekahkan al-fatihah kepada skot kita yang terlebih dahulu meninggalkan kita. Kemudian beliau mengucapkan ribuan terima kasih kerana dapat hadir, walaupun tak semuanya, namun ini adalah sebagai satu penghargaan dan penghormatan yang amat besar kepada beliau dan keluarga, sehingga semasa beliau bercakap, agak tersangkut-sangkut sebab dah sebak….. kita orang pun rasa terharu dan oleh kerana sebak jugak, webmaster terlupa nak jawab balik ucapan tu …… Lebih kurang jam 1515, kami pun mula bersurai dan balik menuju ke destinasi masing-masing……  begitulah ceritanya kunjungan ke rumah En Saleh.

ensaleh02

Macam ni lah orang pencen… kat rumah tinggal berdua….

Webmaster disini sebagai mewakili semua skot TJP 54 yang hadir, mengucapkan ribuan terima kasih kepada En Saleh sekeluarga kerana sudi menerima kunjungan kami dan membuat persiapan yang hebat. Kami mengaturkan kunjungan ini kerana demi mengingati segala pengorbanan yang telah diberikan oleh En Saleh selaku KSM TJP 54 semasa latihan kadet dulu. Walaupun peristiwa tersebut telah berlalu selama 13 tahun, namun segala ilmu pegetahuan yang telah dicurahkan oleh beliau dan jurulatih-jurulatih yang lain sentiasa dikenangi dan InsyaAllah, aktiviti sebegini akan terus diadakan dari masa ke semasa, mungkin boleh dijadikan sebagai acara tahunan dan dilanjutkan kepada jurulatih yang lain juga, selain dari reunion 2 tahun sekali. Kepada skot TJP 54 yang tidak dapat hadir, diharaplah dapat meluangkan masa untuk mengunjungi beliau terutama kepada mereka yang berhampiran, silalah telefon beliau dan tanya khabar.