Menziarahi Skot Affendi

20240615 150508

Semasa menziarahi Skot Affendi di Hospital Ipoh.. anak bungsu beliau sedang menemani…

Sabtu, 15 Jun 2024. Akhirnya aku berkesempatan menziarahi Skot Affendi di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Setelah tertangguh beberapa kali, hari ini mesti jadi, walaupun menjelang Hari Raya Aidiladha dan dijangkakan jalan raya pasti sesak, aku tak peduli, aku tempuh juga. Kalau aku tak pergi dikesempatan ini, entah bila lagi. Kira-kira jam 7 pagi aku bergerak dari rumah di Melaka, ditemani oleh isteri menuju ke Ipoh. Perjalanan lancar di lebuh raya sehinggalah tiba di Bukit Beruntung menuju ke utara, lebuh raya mula mengalami kesesakan, seperti yang dijangka. Hari ini hari cuti, barangkali ramai yang hendak balik bercuti ke kampung halaman untuk sambutan Hari Raya Haji. Syukur ada isteri yang setia menemani. 

my army day 006

Zaman muda tahun 1991, Kursus Ketua Platun di PULADA. Aku, Hasbollah dan Affendi. Motor KIPS Azean yang khabarnya telah hilang dicuri…

Dalam perjalanan, isteri buat panggilan telefon kepada Gee (isteri Skot Affendi) dan dimaklumkan bahawa Skot Affendi telah masuk semula ke Hospital Raja Permaisuri Bainun kerana kondisi beliau yang bertambah lemah dan tak berdaya. Akhirnya lebih kurang jam 2 petang baru kami sampai di Ipoh dan terus menuju ke Hospital.

20240615 150252

Aku panjatkan doa untuk mu skot.. semoga diberikan kesembuhan

Setelah sampai di Hospital, di katil dimana beliau ditempatkan, anak bungsu beliau berada disitu, dan aku bertanya, “Mana mak?”, “Mak balik rumah berehat”, jawabnya. Merujuk kepada semalaman menunggu suaminya. Aku mendekati Skot Affendi, “Skot, ko kenal aku tak?”, “Kenal… ingat..”, jawab beliau dengan lemah.

Aku memerhatikan sekujur tubuh didepan ku. Keadaan beliau sangat lemah. Tak berbaju, hanya memakai kain sarung dan lampin pakai buang. Difahamkan beliau merasa panas. Cuba bertanya lagi, tapi beliau sudah tidak mampu berbicara, mata terpejam. Tak sampai hati aku nak bertanya lagi…

Alluakhbar, aku sedih dan pilu.. melihat skot aku yang dalam kesakitan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bagaimana keadaan melawan sakit sebegitu? Ubat tahan sakit yang diberikan memberikan kesannya, beliau khayal… tak dapat nak bersembang, tak dapat nak bergurau seperti sebelum ini, tak dapat nak bercerita kisah-kisah lama, hanya sepi. Beliau terbaring lesu dan lemah, tubuhnya layu dan tak bermaya. Ya Allah, berikanlah kesembuhan kepada skot aku ini.

photo 2024 06 18 14 06 11

Gambar tahun lepas, 27 Febuari 2023, semasa beliau datang ke rumah aku… beliau datang sebelum anak aku menikah, menyatakan tak dapat hadir semasa acara

Aku teringat tahun lalu beliau ada singgah di rumah aku, semasa balik kampung di Merlimau. Kami bersembang bebeapa ketika, ketawa dan bergurau. Masih teringat sifat dan karakter beliau yang telah ku kenali sejak zaman latihan kadet, ada waktunya sama-sama kursus, namun tak pernah berkhidmat dalam satu pasukan.

Aku juga masih teringat skot, semasa kita sama-sama kursus Ketua Platun tahun 1991, di PULADA. Masih segar ingatan itu, dalam satu senario, keluar dari semak selepas membuang air besar… “Skot, kita ada duit nak beli makanan”… sambil menunjukan duit kertas RM 50 basah yang kekuning-kuningan. “Macam mana ko boleh simpan duit ni skot?, jurulatih tak dapat kesan ke?” Tanya aku kehairanan, merujuk kepada baju dan seluar kami yang koyak rabak kerana digunting dan dipotong oleh jurulatih sebelumnya untuk mengesan duit… “Aku masuk duit dalam kondom skot.. lepas tu aku telan dengan pisang”.. jelasnya. Beliau menambah, “Aku kais-kais dengan kayu, kondom tu pecah”,  merujuk kepada wang kertas yang masih basah selepas dicuci, tapi kekuningan kerana telah terkena ‘pewarna asli’. Lega, dengan bantuan pekerja ladang sawit di kawasan Felda Kota Tinggi, kami yang dari tadi kelaparan dapatlah membeli nasi bungkus.. Begitulah sepintas lalu kenangan kami semasa modul Escape and Evasion, Kursus Tempur Pegawai Muda di PULADA 33 tahun yang lalu. 

Berbalik kepada cerita semasa di Ipoh, mengingatkan pesanan isterinya untuk singgah dirumahnya yang tak berapa jauh dari Hospital, kami pun hendak bergerak kesana. lalu aku bisik ke telinganya, “Skot.. aku balik dulu skot.” Dia menjawab dengan suara yang lemah dan sangat perlahan, hampir aku tak faham… kata-katanya, “Hati-hati dijalan skot.” Allahuakhbar…

Dengan berat hati kami melangkah keluar dari Hospital, menuju ke rumahnya, untuk menyantuni keluarga beliau dirumah. Puan Norzita atau dipanggil Gee telah menunggu kami dirumahnya. Panjang kami bercerita, sesekali beliau sebak dan mencurahkan air matanya. Siapa yang tak susah hati dikala suami menderita kesakitan seperti itu, menemani di Hospital setiap malam, tidur tak tentu. Bagaimana suasananya suami tersayang yang sebelum ini sihat, ceria dan mesra, kini terlantar kesakitan. Tiada lagi gurauan, tiada lagi keceriaan seperti sebelum ini.

Affendi Platun2 YO 1990

Tak ada gambar lain skot.. ini saja gambar yang ada.. semasa zaman muda tahun 1991

Beliau menceritakan, sebaik sahaja skot Affendi mengetahui keadaan kesihatan beliau yang terkini dari Doktor, beliau pasrah dan redha, pada waktu itu beliau mengira seorang demi seorang berapa orang skot TJP 54 yang telah dipanggil olehNya, sambil berkata, “Abang pun akan dipanggil ni…”. Allahuakhbar skot, semua orang akan dipanggil menemuiNya skot, termasuk aku. Hanya waktu yang berbeza skot, sampai masanya kita pergi juga.

Begitulah, menziarahi orang sakit akan menginsafkan kita. Aku sangat berterima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan TJP 54 yang begitu perihatin, malah ada yang bermurah hati memberikan sumbangan bayaran yuran ahli untuk Skot Affendi. Salah seorang AJK menyebut, walau apa pun yang terjadi, dia tetap skot kita… Kita tak boleh dipisahkan. Kita sama-sama melalui zaman kadet, tak kiralah apa pangkat, gelaran atau kedudukan yang ada sekarang, skot tetap dipandang skot, membayangkan skot inilah yang pada satu masa dahulu sedang memakai PT Bodoh T-Shirt Loreng seluar pendek Biru sedang membuat Mess Cleaning selepas kena Hell kerana membuta semasa prep hours… 

Terima kasih atas keperihatinan Dato’ Nazrul Edgar, Pengerusi Black Hackle Club, setelah diberitahu, telah mengusahakan pungutan derma kilat untuk Skot Affendi dari ahli-ahli Black Hackle Club yang terdiri dari veteran-veteran Pegawai Kor Renjer. Skot TJP 54 pasti masih ingat bahawa waktu kita latihan kadet, beliau adalah salah seorang jurulatih kadet pengambilan lain pada ketika itu.

Kemaskini 19 Jun 2024. Rombongan dari BHC telah mengunjungi Skot Affendi dan menyerahkan sumbangan. Baca maklumat lanjut disini. //

Begitulah sepintas lalu perkongsian. Sila baca Post berkaitan disini. Kepada skot yang masih belum berkesempatan menziarahi Skot Affendi, silalah cari dan luangkan masa skot. Hubungi waris Skot Affendi dahulu untuk mengetahui perkembangan terkini.

Kemaskini 27 Jun 2024. Maklumat melalui Whatsapp dari isterinya jam 3.14 pagi bahawa Skot Affendi telah meninggalkan kita untuk selama-lamanya.  Innalillahiwainnailaihirojiun (إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ) “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya kami kembali”. 

UPDATE RANCANGAN PENGURUSAN JENAZAH MEJ AFFENDI BIN MD YUSSOF (BERSARA) RRD

1. Post Mortem akan dilaksanakan di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada jam 0830.

2. Jenazah akan dibawa ke rumah keluarga beliau di alamat No 159 Lot 311908 Persiaran Guntong ( S ) Kg Tersusun Rapat, Jalan Sg Pari, Buntong, 30100 Ipoh, Perak, dijangka pada jam 1000.

3. Solat Jenazah dirancang akan disempurnakan di Masjid Al-Ansar, Buntong, Ipoh, selepas waktu Zuhur. Jenazah dirancang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Buntong, Ipoh.

4. Bantuan dari pasukan 2 RRD:

a. Van Jenazah pasukan telah tiba di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada jam 0800.

b. 6 x anggota pengusung bagi membantu pengurusan jenazah.

c. Pengurusan penggalian kubur telah diuruskan oleh AJK Masjid Al-Ansar, Ipoh, Perak.

Sekian untuk makluman YBhg Datuk/Dato’ & Tuan-Tuan.

pengurusan jenazah01

pengurusan jenazah02

//