Ahad, 14 Mei 2023, bermula jam 1230 hingga 1530, bertempat di Hotel Tenera, Bangi, Mini Reunion Intake 54 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri telah dianjurkan dengan jamuan makan tengahari dan hidangan lain yang menyelerakan. Seramai 23 orang dari skot i54 telah dapat meluangkan masa mereka untuk sama-sama memeriahkan mini reunion dan sambutan jamuan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Tujuannya tidak lain dan tidak bukan, mengeratkan persahabatan dan silaturrahim yang telah terjalin sejak sekian lama, bermula tarikh menjalani latihan kadet di Divisyen Kadet Maktab Tentera Diraja pada tahun 1989 sehinggalah tahun 2023. Dengan kata lain, bonding dan eratnya persahabatan itu adalah sangat bermakna. Walaupun sebahagian besarnya telah meninggalkan perkhidmatan, namun tidak menjadi halangan untuk mengimbau semula kenangan lama.
Mini Reunion pada tahun ini diadakan secara ringkas namun sangat bermakna sebagai langkah yang selanjutnya untuk mengadakan reunion yang lebih ‘perfect’ bersama keluarga yang dirancangkan pada bulan Ogos nanti sempena 34 tahun intake TJP54. Beberapa orang skot membawa isteri dan anak masing-masing, namun majoritinya hadir secara single sahaja.
Sambil menikmati pelbagai hidangan makan tengahari yang menyelerakan, aktiviti utama mini reunion ini ialah bersembang, bergurau senda demi mengingati dan mengembalikan nostalgia lama sehinggalah kehujung acara. Jelas kelihatan sahabat-sahabat i54 menampakkan perubahan fizikal sesuai dengan peningkatan umur yang semuanya telah melepasi usia setengah abad, malah ada yang telah berstatus warga emas.
Kalau reunion dahulu yang pada waktu itu masih diusia remaja dan anak-anak masih kecil, sekarang ianya sudah berubah. Majoriti anak-anak semuanya sudah meningkat dewasa dan beberapa orang skot telah mempunyai cucu dan menantu.
Peluang sebegini bukannya selalu datang dan ucapan ribuan terima kasih kepada semua skot yang hadir kerana telah berusaha sedaya upaya untuk hadir tidak kira jauh dan dekat. Persahabatan ini sangat bermakna sehingga ke penghujung usia. Kepada yang tidak dapat hadir, reunion yang sebenar akan dianjurkan pada bulan Ogos nanti dan mudah-mudahan dapat diambil kesempatan ini untuk mengeratkan kekeluargaan kita.
Seluruh keluarga besar i54 mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada skot Kamarul kerana telah menganjurkan dan membuat koordinasi dengan pihak Hotel Tenera di Bangi.